Analisa RENTAKA - Pertahanan Udara Rendah dan Sederhana yang sempurna
Operasi pasukan kalvari seringkali melibatkan serangan di kawasan- kawasan yang lasak.
Samada kita sedar ataupun tidak, Tentera Darat Malaysia sedang melengkapkan aset- aset armornya untuk membentuk briged armor yang pertama. Meskipun masih belum lengkap sepenuhnya, aset- aset armor TDM sudah dilihat sebagai ancaman yang semakin menjadi serius. Dalam hampir segala segi, kekuatan armor TDM dilihat adalah setanding dan menjadi salah satu teras utama elemen cegah rintang yang dimiliki oleh ATM secara umumnya dan TDM secara khususnya. Walaubagaimanapun, mengambil pengajaran daripada Al-Quran atau lebih tepat lagi Surah Al- Fil dimana kisah tentera bergajah yang dipimpin oleh Abrahah, jelas sekali salah satu titik kelemahan sesebuah pasukan kalvari terletak pada keupayaannya untuk mempertahankan diri daripada serangan udara.
Buat masa ini, keupayaan pertahanan udara hanya bergantung pada aset- aset pertahanan udara milik GAPU, mesingan berat dan meriam- meriam berkaliber kecil pada kenderaan tempur dan sistem MANPADS yang dibawa. Aset- aset GAPU adalah bersifat stastik dan mengambil masa untuk dipasang dan dipersiapkan sebelum ia dapat beraksi. Mesingan berat dan meriam - meriam berkaliber kecil pula dibidik dan dioperasikan secara insani - efektif untuk menembak helikopter musuh tetapi tidak memadai untuk menghalang serangan pesawat pejuang musuh. Ini boleh dilihat semasa pertempuran Longewala semasa perang India Pakistan 1971 dimana hanya empat buah pesawat Hawker Hunter India bersenjatakan meriam pesawat 30mm dan 68mm roket berjaya memusnahkan 22 buah kereta kebal Sherman dan Type 59 Pakistan! Meskipun kereta kebal Pakistan cuba untuk menembak jatuh pesawat Hunter India dengan menggunakan mesingan berat yang terpasang di bumbung turet mereka, ia tidak mempunyai jangkauan tembakan yang diperlukan.
ZSU-23-4 Shilka adalah sistem pertahanan mudah gerak yang efektif dan digunakan sejak zaman perang dingin sehingga kini.
Secara idealnya, apa yang diperlukan adalah satu sistem pertahanan udara yang dipasang pada kenderaan berrunut bagi membolehkannya memiliki mobiliti serta tahap perlindungan yang tinggi bagi membolehkannya bergerak seiring dengan pasukan armor di medan pertempuran. Lebih baik lagi jika sekiranya sistem pertahanan udara tersebut memiliki gabungan sistem peluru berpandu (bagi menghapuskan ancaman jarak sederhana dan dekat) dan meriam berkaliber kecil (bagi menghapuskan ancaman jarak dekat dan sangat dekat). Meriam ini juga berfungsi untuk membedil aset- aset musuh di darat yang cuba untuk mengancam. Penggunaan meriam pertahanan udara untuk membelasah musuh di darat bukanlah sesuatu yang baru. Semasa Perang Dunia Kedua, Jeneral Rommel telah mempelopori penggunaan meriam pertahanan udara berkaliber 88mm untuk membelasah kereta kebal pihak berikat. Semasa Perang Vietnam pula, tentera Amerika seringkali menggunakan M-42 Duster sebagai pertahanan utama pangkalan tentera mereka daripada serangan gelombang manusia yang digunakan oleh tentera Vietnam Utara mahupun Vietcong. Malah M-42 juga seringkali digunakan untuk mengepalai konvoi kerana keampuhan kuasa tembaknya yang mampu mengkucar-kacir serta mematahkan serangan hendap yang cuba dilakukan oleh pihak musuh. Perkara yang hampir sama turut dilakukan oleh tentera Rusia semasa menghadapi penentangan oleh pejuang Islam di Afghanistan dan Chechnya. Kuasa tembak yang dimiliki oleh ZSU-23-4 cukup menakutkan dan mampu untuk membidik musuh yang berlindung di tempat tinggi.
Tentera Darat Diraja Thailand mengoperasikan sejumlah 24 buah M163 VADS.
Dikalangan negara- negara ASEAN, Thailand dikatakan kehadapan dengan memiliki sehingga dua divisyen kalvari. Bagi pertahanan udara mudah gerak, ia menggunakan pelbagai jenis aset termasuklah M163 VADS yang merupakan satu versi kereta perisai M113 yang dipasang dengan meriam gatling M61 Vulcan. Singapura juga tidak ketinggalan menggunakan sistem pertahanan udara mudah gerak dimana ia menggunakan M113A2 Ultra IFU dan M113A2 Ultra WFU. Pada asasnya, kedua- duanya adalah merupakan kereta perisai M113A2 yang telah dipertingkatkan keupayaan dan tahap perlindungannya dan dipasang dengan pelancar SA-18 Igla dan. mesingan berkaliber 7.62mm. Perbezaannya adalah M113A2 Ultra IFU memiliki radar doppler untuk kawalan tembakan sedangkan M113A2 Ultra MFU tidak dilengkapi dengan radar sebaliknya beroperasi secara kendiri atau menerima maklumat sasaran daripada radar M113A2 Ultra IFU menerusi jaringan data.
M113A2 Ultra IFU Singapura yang dibangunkan dengan menggunakan kepakaran tempatan.
Bagaimana pula dengan TDM? Terdapat beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan. Seperti diketahui, GAPU telahpun menerima sistem MANPADS baru iaitu Starstreak yang digandingkan dengan sistem Forceshield yang turut terdiri daripada pakej pelancar Rapidranger dan Rapidrover yang dipasang pada kenderaan GK-M1 4x4. Jelas sekali kenderaan 4x4 tidak memiliki daya mobiliti dan tahap perlindungan untuk mengiringi pasukan Armor yang beroperasi di medan tempur. Satu penyelesaian yang mungkin boleh diambil adalah dengan memasang sistem MANPADS tersebut pada kenderaan Stormer - sama seperti Stormer HVM yang digunakan oleh Tentera Darat British. Satu lagi pendekatan yang boleh diambil adalah dengan mengikuti pendekatan yang diambil oleh Tentera Darat Amerika iaitu memasang pelancar MANPADS Stinger yang dipakejkan di dalam pelancar yang berbentuk kotak dan digabungkan dengan turet kenderaan tempur Bradley. Versi kenderaan tempur Bradley yang dilengkapi dengan Stinger ini dikenali sebagai M6 Linebacker. Perkara yang sama boleh dilakukan pada kenderaan tempur Adnan tetapi ia memerlukan proses R&D yang minima tetapi #Rentaka yakin ianya boleh dilakukan dengan kebijaksaan serta kepakaran anak tempatan.
Type 95 SPAAA daripada China.
Sekiranya TDM memilih untuk membeli sistem pertahanan udara mudah gerak daripada luar negara, terdapat beberapa sistem yang ada di pasaran seperti Type 95 SPAAA daripada China dan K30 Biho daripada Korea Selatan. Akan tetapi yang paling gah adalah sistem pertahanan udara mudah gerak 2K22 Tunguska daripada Rusia. Digunakan oleh 7 buah negara termasuklah Rusia, India dan Ukraine, ia mampu untuk mengesan sasaran daripada 38 kilometer jauh dan bertindak apabila ancaman berada pada jarak 18 kilometer. Akan tetapi terdapat satu lagi sistem pertahanan udara mudah gerak yang telah terbukti keberkesanannya dalam pertempuran tetapi kurang diperkatakan adalah Pantsir S. Sebanyak 10 negara menggunakan Pantsir S tetapi entah mengapa ia kurang diperkatakan. Lebih mengejutkan lagi, ia hanya dipasang pada trak 4x4, 6x6 dan 8x8 meskipun mempunyai rekod pertempuran yang baik. Menurut firma pengeluarnya, versi Pantsir S yang dipasang pada kenderaan tempur sedang dalam proses pembangunan.
K30 Biho yang dibangunkan dengan menggunakan casis KIFV sebagai platform.
Stormer HVM melancarkan peluru berpandu Starstreak. Ia adalah satu contoh yang boleh dikaji untuk digunapakai oleh TDM.
sistem 2K22 Tunguska yang sangat popular di media massa.
2K22 dalam satu demo tembakan.
Pantsir S yang kurang popular tetapi telah terbukti keberkesanannya dalam pertempuran. Mungkinkah kerana ia hanya dipasang pasa casis trak maka dilihat sebagai kurang gagah?
Pantsir S dalam satu demonstrasi. Korban Pantsir S dalam pertempuran termasuklah sebuah RF-4 Phantom, pelbagai jenis UAV milik Turki, Israel, Amerika dan juga roket- roket MBRL pelbagai kaliber.