Analisa RENTAKA: Penyelenggaraan Lanjutan Peringkat Depot F/A-18D Hornet TUDM- Analisa Rentaka. 

(Awas, artikel panjang).

No photo description available.

Tidak lama dahulu, terdapat laporan di media massa bahawa pesawat F/A-18D TUDM akan menjalani kerja- kerja penyelenggaraan di Australia. Walaubagaimanapun tidak ramai yang mengetahui tentang signifikannya kerja- kerja penyelenggaraan tersebut dan apakah impaknya kepada pertahanan negara.


Bagi mereka yang lupa, F/A-18D Hornet telah mula berkhidmat dengan TUDM pada tahun 1996, jadi ia telah berkhidmat selama 24 tahun. Selama tempoh itu ia telah beberapa kali dinaik taraf sehingga mencapai "25X Capability" dan menjadikan keupayaannya hampir- hampir menyamai pesawat F/A18F Super Hornet.

Jika dilihat kepada laporan media di internet, tidak banyak yang diketahui tentang kerja- kerja penyelenggaraan yang bakal dilakukan selain ia adalah kerja- kerja penyelenggaraan peringkat depot dan dilakukan di Australia serlain ia akan mengambil masa dua tahun bagi setiap satu pesawat. Secara asasnya usia sesebuah pesawat tidak dikira dalam tahun tetapi sebaliknya dikira melalui jam penerbangan. Bagi pesawat pejuang Hornet, ia secara amnya memiliki jangka hayat selama 6,000 jam penerbangan. Dalam andaian Hornet beroperasi selama 200 jam setahun, ini bermakna pada tahun 2021, ia akan mencapai usia 4,800 jam penerbangan. Bermakna jangka hayatnya tinggal 1,200 jam penerbangan atau pengoperasian selama enam tahun lagi jika tempo operasi 200 jam penerbangan setahun dikekalkan. Bagi memastikan Hornet TUDM terus beroperasi sehingga ke tahun 2030, jangka hayatnya harus dilanjutkan lagi kepada sekurang- kurangnya 2,000 jam penerbangan dan cara mencapainya adalah dengan melakukan kerja- kerja penyelenggaraan lanjutan peringkat depot.

Kerja- kerja penyelenggaraan peringkat depot melibatkan setiap satu pesawat Hornet ditogelkan sepenuhnya sehingga ke peringkat asas bagi memeriksa struktur badan pesawat. Sekiranya terdapat bahagian yang lemah, berkarat, stress dan sebagainya, ia akan diperkukuhkan dan diperbaiki. Setiap centimeter pendawaian akan diperiksa dan digantikan jika perlu dan setiap komponen pesawat diperiksa dan diganti baru sekiranya perlu. Pada masa inilah waktu terbaik untuk memperkenalkan komponen- komponen yang hendak dibaik taraf seperti radar AESA dan sebagainya. Malangnya Hornet TUDM dilaporkan tidak akan dipasang dengan radar AESA di atas sebab kos. Sebaliknya ia bakal dipasang dengan sistem paparan avionik dan jaringan data taktikal yang baru.


TUDM dilaporkan akan menghantar dua buah pesawat Hornet pada satu masa ke Australia untuk melakukan kerja- kerja penyelenggaraan peringkat depot. Penerbangan jarak jauh ke bandar Williamson, Australia ini akan dilaksanakan dengan membawa pesawat Hornet di dalam perut pesawat pengangkut A400M untuk menjimatkan jam penerbangan sang Tebuan- satu lagi perbatuan menarik bagi sang Beruang!

Jika kerja- kerja penyelenggaraan peringkat depot ini diteruskan, ini bermakna pesawat pejuang Hornet TUDM akan terus menabur bakti sehingga ke dekad 2030. Pengekalan radar APG-73 pada pesawat juga menunjukkan bahawa statusnya sebagai aset serangan surgikal dan serangan maritim adalah tidak berubah. Walaubagaimanapun pemasangan sistem paparan avionik dan jaringan data taktikal baru manunjukkan bahawa Hornet sudah mula disediakan untuk menerima maklumat daripada aset- aset ISR terkini atau akan datang ATM seperti ScanEagle UAV yang baru diterima minggu lepas. Oleh kerana Hornet TUDM akan berkhidmat selama lebih daripada satu dekad lagi, tidaklah sesuatu yang menghairankan jika pesawat pejuang ini akan dilengkapi dengan perkakasan terkini bagi memastikannya terus relevan dan tidak ketinggalan zaman. Oleh kerana itu, Rentaka berpendapat tidaklah mengejutkan jika Hornet TUDM dipasang dengan jaringan data taktikal, sistem paparan avionik Wide Area MFD dan keupayaan untuk membawa serta melancarkan peluru berpandu anti kapal AGM-158C LRASM seperti yang terdapat pada pesawat pejuang Super Hornet Block III.

Pelanjutan jangka hayat Hornet kepada diantara 10 hingga ke 15 tahun juga bermakna kerajaan Malaysia mempunyai masa lebih kurang satu dekad lagi untuk memilih dan mencari pengganti pesawat pejuang F/A-18D Hornet. Ini juga berkemungkinan bermakna idea untuk membeli pesawat Hornet tambahan daripada negara lain juga tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan masa. Samada secara kebetulan ataupun tidak, pelanjutan jangka hayat pesawat Hornet bermakna ia akan berkhidmat sehingga tahun 2035-2037 sebelum perlu diundurkan daripada perkhidmatan iaitu pada dekad yang sama pesawat pejuang generasi keenam seperti Tempest, FCAS, J-XX dan F/A-XX akan mula memasuki perkhidmatan.

Most Read