Analisa RENTAKA - Program Pesawat Pejuang LCA TUDM. (Bahagian Terakhir)
Sebenarnya terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan pesawat pejuang baru. Oleh kerana itu tim penilai akan mengambil kira semua faktor dalam menentukan pesawat yang dipilih sebagai pemenang. Selain daripada harga pesawat, satu lagi faktor penting yang turut diambil kira adalah kos pengoperasian serta kos pemilikan pesawat. Dalam hal ini, majalah Asian Military Review dalam laporannya yang bertajuk “Light Combat Aircraft in Asia Pacific” mendedahkan bahawa kos pengoperasian pesawat pejuang FA-50 sebenarnya bukan sahaja lebih tinggi jika dibandingkan dengan pesawat LCA yang lain tetapi juga hampir sama dengan kos pengoperasian pesawat pejuang F-16 tetapi dengan keupayaan tempur yang jauh lebih rendah daripada F-16. Namun, sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan.
Jika dilihat secara sepintas lalu berdasarkan maklumat yang boleh didapati daripada sumber terbuka, Rentaka berpendapat bahawa jika mengambil kira faktor harga, kos pengoperasian, kesesuaian dengan dasar kerajaan dan keupayaan tempur, pilihan terbaik adalah pesawat pejuang JF-17, Ia memiliki keupayaan serangan maritim, mampu dilengkapi dengan peluru berpandu BVR dan harganya agak murah iaitu USD25-30 juta sebuah. Disamping itu, ia dikuasai oleh sebuah enjin jet Klimov RD-33 iaitu enjin yang sama digunakan oleh pesawat pejuang MiG 29 (dimana TUDM mempunyai kepakaran dalam mengendalikan dan menyenggarakannya). Paling menawan adalah sistem avioniknya ditulis dalam bahasa pengatucaraan C++ yang begitu popular dan terbuka, membolehkan negara pengguna untuk mengubahsuai sistem avionik tersebut mengikut selera dan keperluan masing- masing tanpa perlu mengupah tenaga pakar yang mahal. Daripada segi timbal balas, China dan Pakistan sudah pasti tidak keberatan untuk berkongsi teknologi dan menerima sebahagian bayaran dalam bentuk produk sawit serta getah.
Walaubagaimanapun Rentaka berpendapat bahawa jika JF-17 terpilih, banyak pihak yang tidak akan bersetuju dengan keputusan tersebut. Walau apapun, dunia sekarang sedang dilanda oleh kelembapan ekonomi akibat daripada wabak Covid-19. Oleh itu, setiap negara menumpukan perhatian terhadap perang melawan wabak Covid-19 yang bukan sahaja mahal daripada segi kos merawat tetapi juga meragut ribuan nyawa. Sedang kerajaan menumpukan perbelanjaan bagi melawan wabak serta memastikan kebajikan rakyat terbela dan ditekan untuk mengurangkan perbelanjaan pertahanan, ketika itulah ada negara yang menceroboh perairan negara atas alasan membuat penyelidikan. Inilah realiti sebenar dunia. Tiada belas kasihan selagi boleh diambil kesempatan. Dalam keadaan sebegitu, lazimnya pemimpin sesebuah negara akan bertanya apakah pilihan yang ada untuk menghalang. Mungkin ramai yang bersetuju bahawa dalam keadaan ini tidak banyak pilihan yang ada dan merasakan hasil daripada pendekatan “Bloody Nose”, elemen cegah rintang yang dimiliki oleh ATM dirasakan tidaklah begitu mendalam.
Pun begitu Rentaka berpendapat bahawa meskipun dunia sekarang sedang dilanda oleh kelembapan ekonomi, masih terdapat peluang untuk meraih kelebihan dalam program #LCA. Dalam keadaan ekonomi sekarang sudah pastinya negara perlu mencari pesawat pejuang menawarkan nilai yang lebih atau setidak- tidaknya sejajar dengan wang yang dibayar. Pada masa yang sama, kelembapan ekonomi juga bermakna firma pertahanan akan mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan tempahan pelanggan dan saingan akan menjadi hebat. Oleh kerana itu, Rentaka berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk mendapatkan nilai yang lebih bagi setiap ringgit yang dibelanjakan dan berunding seagresif mungkin untuk meraih pesawat pejuang serta pakej yang terbaik.
Jika dilihat dan ditimbang secara mendalam, #Rentaka berpendapat bahawa pesawat pejuang JAS-39 Gripen mungkin adalah pilihan terbaik untuk TUDM. Meskipun ia bukanlah pesawat pejuang ringan dan harganya lebih mahal berbanding pesawat LCA yang lain, kos pengoperasiannya yang rendah dan keupayaannya tempurnya yang tinggi membuatkannya sebagai calon terbaik untuk menggantikan pesawat Hawk 208. Bagi mengurangkan impak harganya yang tinggi, kerajaan mempunyai pilihan yang lain seperti membuat perjanjian sewa beli pesawat pejuang tersebut seperti yang dilakukan oleh negara Czech dan Hungry atau memilih versi yang terdahulu seperti JAS-39C. Peluang untuk pemindahan teknologi dan timbal balas masih terbuka kerana mereka masih menghasilkan pesawat #Gripen untuk Brazil. Dalam perjanjian pembelian 36 buah JAS-39E/F, Brazil mendapat timbal balas berjumlah hampir dua kali ganda daripada nilai yang perlu dibayar. Ini termasuklah keterlibatan dalam pembuatan pesawat dan pemindahan teknologi. Malah pesawat JAS-39 E/F Gripen Brazil dilengkapi dengan teknologi dan sistem avionik terkini dan setanding dengan pesawat pejuang generasi ke 4.5+. Gripen juga boleh membawa hampir keseluruhan sistem peluru berpandu yang ada dalam perkhidmatan TUDM dan pada masa yang sama memberi keupayaan kepada #TUDM untuk mendapatkan keupayaan tempur yang lebih baik dengan pengenalan sistem radar, avionik dan persenjataan yang terkini. Disamping itu, Gripen turut menawarkan keupayaan serangan maritim dalam bentuk peluru berpandu anti kapal RBS-15 yang turut mampu menyerang sasaran strategik di darat atau pulau. Peningkatan elemen cegah rintang adalah sejajar dengan peningkatan keupayaan ofensif sesebuah negara. Mungkin pembelian Gripen boleh dipakejkan dengan pesawat latihan T-7 yang dihasilkan secara bersama oleh Saab dan Boeing. Pesawat T-7 mampu melakukan tugas LIFT dan Boeing menawarkan pakej timbal-balas pembuatan komponen pesawat tersebut kepada negara pembeli, Boeing menjangkakan terdapat pasaran untuk 2,600 pesawat latihan T-7 termasuk 351 buah untuk Tentera Udara Amerika.
Pada pendapat Rentaka, satu lagi pendekatan yang boleh dipertimbangkan adalah dengan menunggu selama lima tahun lagi bagi memberi peluang kepada pertumbuhan ekonomi negara kembali rancak sambil menunggu varian FA-50 Block 20 siap dibangunkan, ataupun membeli pesawat latihan KAI T-50 dan kemudiannya menaik taraf sebahagian daripadanya kepada varian FA-50 Block 20 siap dibangunkan kelak. Varian tersebut dijangka akan dilengkapi dengan radar AESA AN/APG-83 SABR yang merupakan radar yang sama terpilih untuk projek naik taraf pesawat F-16C Tentera Udara Amerika dan versi F-16V Block 70. Walaupun begitu, setakat ini kerja- kerja pembangunan varian FA-50 Block 20 tersebut baru sahaja dimulakan dan perkembangannya tidak diketahui. Oleh itu, akan sentiasa terdapat risiko bahawa versi ini tidak diteruskan pembangunannya oleh firma KAI diatas sebab- sebab tertentu dan pembangunannya juga bergantung kepada tempahan serta pemintaan daripada pelanggan.
Jika pembaca Rentaka mempunyai pendapat atau idea tentang program LCA TUDM, sila nyatakan pendapat dan idea anda di ruangan komen. Jangan lupa untuk menekan butang "like" dan "share" sebagai tanda sokongan terhadap Rentaka!