Analisa RENTAKA - Program Pesawat Pejuang LCA TUDM. (Bahagian 1)

(Awas, artikel panjang).

No photo description available.

Salah satu pembelian dalam RMK 12 adalah untuk pesawat tempur ringan atau Light Combat Aircraft (LCA). Seperti yang diketahui ramai, pesawat LCA TUDM sekarang adalah pesawat pejuang/ latihan Hawk 108 dan Hawk 208. Walaubagaimanapun kedua- dua jenis pesawat ini telahpun berkhidmat lebih daripada 25 tahun dan penyelenggaraannya telah menjadi semakin kerap dan menelan kos yang tinggi. Ini belum lagi mengambil kira sistem avionik dan persenjataannya yang semakin ketinggalan zaman. Pun begitu, pesawat pejuang Hawk telah menetapkan penanda aras yang agak tinggi untuk diikuti atau diatasi oleh penggantinya.


Pesawat LCA pada dasarnya adalah pesawat pejuang ringan yang mana harga dan kos pengoperasiannya adalah lebih rendah berbanding pesawat pejuang sebenar. Dalam banyak kes, pesawat LCA ini berkeupayaan untuk bukan sahaja bertempur tetapi juga melatih juruterbang pesawat pejuang dalam hampir semua aspek pertempuran udara sebelum mereka boleh beralih kepada pesawat pejuang sebenar.


Setakat ini, pesawat yang menjadi calon bagi memenuhi keperluan pesawat LCA TUDM adalah FA-50 Golden Eagle, YAK-130, M-346FA, BAE Systems Hawk, Tejas dan JF-17 Thunder. Pada pengamatan Rentaka, diantara kriteria yang mungkin diambil kira dalam pemilihan pesawat LCA adalah impak positif terhadap keupayaan sedia ada, penggunaan sistem persenjataan yang sedia ada dalam perkhidmatan TUDM, pengenalan sistem persenjataan baru yang minimum disamping dengan jaminan bekalan alatan ganti untuk 30 tahun yang akan datang, keupayaan untuk sistem yang mudah dinaik taraf dan fasilitasi timbal balas.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pesawat Hawk 208 telah meletakkan penanda aras yang tinggi kepada penggantinya untuk diikuti dan diatasi. Meskipun hanya mempunyai rekabentuk yang konvensional, ia mampu memecut hingga ke kelajuan 1,038 km/j. Enjin jet Adour 871 pula adalah enjin jet yang sangat popular dan digunakan oleh banyak pesawat pejuang kecil di dunia. Oleh itu bekalan alatan ganti mudah untuk di dapati di serata dunia. Dilengkapi dengan radar APG-66 (yang digunakan oleh pesawat F/A-18A Hornet) telah memberi keupayaan tempur udara dan serangan darat/ permukaan yang jitu. Sebagai contoh, ia boleh membawa dan melancarkan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM bagi tugas pertempuran udara malah bom panduan laser seperti Paveway II untuk serangan surgikal!

Mungkin ada yang bertanya, jika pesawat Hawk 208 begitu hebat, mengapa tidak digantikan sahaja pesawat Hawk yang sedia ada dengan yang baru? Pertama- tamanya pesawat pejuang Hawk telah tidak dihasilkan lagi. Pesawat pejuang Hawk 200 terakhir dikeluarkan pada 25 tahun yang lalu. Disamping itu rekabentuk pesawat Hawk sudah agak lama. Rekabentuk asas pesawat Hawk dizahirkan pada tahun 1960an dan setiap variasi menggunakan rekabentuk asas yang sama dengan pengubahsuaian dilakukan dimana perlu. Pesawat Hawk terkini yang dikeluarkan telah dioptimakan untuk tugas latihan dan keupayaan tempurnya jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pesawat pejuang Hawk 208.

Terdapat desus- desas bahawa diantara calon- calon pesawat LCA TUDM, pesawat pejuang KAI FA-50 menjadi calon paling terhadapan. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana jika dibandingkan spesifikasi calon- calon pesawat LCA TUDM, pesawat FA-50 menawarkan keupayaan yang jitu, mampu untuk menggunakan semua sistem persenjataan sedia ada dalam perkhidmatan TUDM disamping pesawat yang sama (tetapi dalam varian berbeza) berkhidmat dalam Tentera Udara Thailand, Indonesia dan Filipina. Selain daripada FA-50, pesawat pejuang M-346FA turut dilihat berada dalam kedudukan yang baik untuk dipilih.

Dalam kita memperkatakan tentang pemilihan pesawat LCA TUDM, kita seringkali terlupa satu faktor penting iaitu salah satu dasar utama Kerajaan Malaysia adalah tidak membuat sebarang perhubungan diplomatik dengan Israel. Malah dalam setiap pembelian sistem persenjataan, kerajaan Malaysia akan memastikan setiap sistem atau komponen tidak berasal daripada Israel. Eh, mengapa tiba- tiba bercerita mengenai Israel? Mungkin ramai yang kurang menyedari bahawa dalam memastikan pesawat pejuang keluaran mereka adalah berkeupayaan tinggi tetapi masih mampu mengekalkan kos yang rendah, banyak firma pengeluar pesawat pejuang menggunakan membeli komponen atau sistem penderia daripada Israel. Sebagai contoh, pesawat pejuang FA-50 dilengkapi dengan radar EL/M-2032 keluaran firma Elta daripada Israel. Demikian juga halnya dengan pesawat Tejas. Pesawat pejuang M-346FA pula menggunakan pod penderia dan pon peninjauan keluaran firma Rafael juga daripada Israel. Penggunaan komponen penting seperti radar yang dikeluarkan oleh firma daripada Israel berkemungkinan besar akan memberikan impak negatif dalam peluang meraih kontrak LCA TUDM. Salah satu cara untuk mengatasi kekusutan ini adalah dengan menggantikan radar tersebut dengan radar buatan negara lain. Walaubagaimanapun ia mungkin akan mengambil masa yang agak panjang untuk mengubah suai ruang radar pesawat, memprogram kembali sistem komputer tempur, sistem persenjataan, sistem avionik dan pengendalian pesawat agar sesuai dan serasi dengan radar yang baru. Bukan itu sahaja, malah ia turut melibatkan proses pensijilan semula pesawat. Sudah tentunya semua ini bakal menelan belanja yang besar dan harus dibayar oleh negara memilih untuk berbuat demikian dan dalam hal ini, negara tersebut mungkin Malaysia.

Jika dilihat daripada segi keupayaan tempur udara hampir kesemua calon pesawat LCA TUDM hanya boleh membawa peluru berpandu AIM-9 Sidewinder. Ini bermakna kebanyakan calon pesawat LCA hanya mampu untuk melakukan pertahanan udara secara point defence dan terhad kepada jangkauan operasi peluru berpandu Sidewinder. Apabila berhadapan dengan pesawat musuh yang dilengkapi dengan peluru berpandu BVR seperti AIM-120 dan R-77, sudah pastinya pesawat LCA dalam kedudukan yang merugikan. Bak kata pepatah Inggeris, “never bring a knife to a gun fight”. Hanya pesawat pejuang JF-17 Thunder yang mampu dilengkapi dengan peluru berpandu BVR daripada jenis PL-12 dan PL-15 buatan China. FA-50 boleh dipasang dengan peluru berpandu buatan Israel seperti Python 5 dan Derby dengan tanpa sebarang modifikasi.

Kedudukan strategik Malaysia di salah satu laluan laut terpenting dunia telah menjadikan salah satu negara yang memiliki perairan laut yang luas. Ditambah pula negara terpisah dua oleh Laut China Selatan, keperluan untuk keupayaan penguasaan maritim adalah sangat penting bagi mengekalkan integriti negara. Dalam hal ini, hanya TUDM yang memiliki aset untuk melakukan serangan maritim pantas ke mana- mana kawasan perairan bagi menghancurkan kekuatan musuh yang menceroboh. Pertindihan tuntutan yang agak agresif di Laut China Selatan menuntut agar negara mempunyai keupayaan serangan maritim yang mantap sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberi bukan sahaja keupayaan cegah rintang tetapi juga mengekalkan imbangan kuasa dalam mengukuhkan tuntutan serta mengekalkan sempadan perairan negara untuk generasi masa depan negara. Oleh kerana itu #Rentaka berpendapat pesawat LCA yang dipilih seharusnya memiliki keupayaan serangan maritim menggunakan peluru berpandu anti kapal. Kebanyakan calon pesawat LCA TUDM mampu untuk menyerang kapal perang musuh menggunakan peluru berpandu AGM-65 Maverick. Meskipun peluru berpandu ini tepat dan terbukti dalam peperangan, ia hanya mempunyai kepala peledak kecil ( iaitu samada 57 atau 136 kilogram) dan jangkauan operasi yang kecil iaitu sekitar 22 kilometer. Ini bermaksa pesawat perlu berada dekat dengan sasarannya- satu tindakan sangat merbahaya terutamanya jika menyerang kapal frigat atau kapal pembinasa yang dilengkapi dengan sistem pertahanan udara jarak sederhana. Diantara calon pesawat LCA TUDM, hanya pesawat pejuang JF-17 yang mampu membawa peluru berpandu anti kapal iaitu C802, C803 dan Exocet.

(Nantikan bahagian kedua artikel ini yang akan disiarkan pada jam 2 petang ini)

#TUDM
#RMAF
#LCA

 

Most Read