Analisa RENTAKA - Program MPA TUDM- pesawat apa yang menjadi pilihan?
Illustrasi grafik sebuah pesawat MPA yang lengkap bersenjata sedang menghalau kapal perang yang menceroboh.
Apa agaknya perkembangan terkini tender untuk 2 buah pesawat MPA yang telah ditutup Disember lepas. Mungkin pada masa ini tim penilaian TUDM, Kementah, Perbendaharaan dan Unit Perancang Ekonomi JPM sedang sibuk menilai setiap maklumat yang diberikan di dalam dokumen tender.
Bagi tim RENTAKA, kami sebenarnya sedikit kecewa kerana jumlah pesawat yang hendak dibeli adalah amat kecil bilangannya. Pada pendapat kami, pesawat MPA yang hendak dibeli secara idealnya hendaklah sekurang- kurangnya 3 buah bagi memastikan pengoperasian pesawat yang baik dan mempunyai ruang untuk memuatkan sebarang pelan kejadian luar jangka yang mungkin terjadi. Akan tetapi, melihatkan keadaan ekonomi, politik dan rakyat negara serta iklim geopolitik dunia pada masa ini, tidak dapat tidak kami memahami kekangan kemampuan dan keterpaksaan kerajaan. Bak kata pepatah Inggeris, Beggars can't be chooser atau pengemis tidak boleh memilih. Sekiranya terdapat keperluan yang mendesak, pesawat MPA boleh ditambah lagi bilangannya di masa hadapan (meskipun jika dilihat pada trend pembelian kelengkapn tentera oleh kerajaan, ianya satu kemungkinan yang agak kecil).
Apa yang menarik adalah tender untuk pesawat MPA tetap diteruskan meskipun negara telah pada dasarnya memiliki tiga buah pesawat CN235 MPA yang sekarang ini sedang dalam proses modifikasi di kilang PTDI di Bandung, Indonesia. Meskipun ketiga- tiga pesawat tersebut adalah milik TUDM, kos modifikasinya menjadi pesawat MPA adalah ditanggung sepenuhnya oleh Amerika dibawah program Maritim Security Initiatives (MSI). Dibawah program yang sama, Amerika turut memberikan beberapa buah radar dan 12 buah ScanEagle UAV kepada Malaysia secara percuma. CN235 MPA TUDM hanya akan dilengkapi dengan radar serta penderia sesuai dengan keperluan misinya. Walaubagaimanapun ia tidak diubah suai bagi membolehkannya dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti peluru berpandu, torpedo mahupun meriam berkaliber kecil. Setakat ini kerja- kerja pengubahsuaian dilaporkan terhenti berikutan pandemik Covid-19 yang begitu serius di Indonesia. Jangkauan operasi CN235 MPA yang dianggarkan sejauh 1,898 kilometer (berdasarkan jangkauan operasi HC-144 Ocean Sentry) adalah mencukupi bagi membolehkannya meronda segenap penjuru perairan negara. Pun begitu, kelajuan rondaannya sekitar 450 km/j dirasakan agak perlahan bagi membolehkannya memecut ke perairan- perairan di mana kehadirannya adalah diperlukan terutamanya sewaktu kecemasan atau berlakunya insiden- insiden yang tidak diingini.
Oleh kerana itu tim RENTAKA berpendapat bahawa tender untuk dua buah pesawat MPA TUDM adalah untuk pesawat MPA dengan keupayan penuh termasuklah dengan keupayaan membawa persenjataan. berbanding dengan apa yang yang bakal melengkapi pesawat CN235 MPA. Dengan erti kata lain, pesawat MPA yang dinginkan oleh TUDM mungkin berbeza dan mempunyai keupayaan yang lebih tinggi berbanding CN235 MPA yang bakal diterima. Selain daripada sistem penderia yang canggih, pesawat MPA haruslah mempunyai jangkauan operasi yang Jauh dan berupaya untuk berada dalam kawasan rondaannya untuk masa yang lama terutamanya ketika memburu kapal selam musuh. Oleh itu pesawat MPA yang diubah suai daripada pesawat kargo mahupun pesawat pnumpang adalah amat bersesuaian kerana memiliki ruang yang besar serta keupayaan untuk menampung bebanan yang besar disamping jangkauan operasi yang jauh. Ruang dalaman yang luas juga memungkinkan untuk memuatkan lebih banyak stesyen penderia serta jumlah krew yang lebih ramai sekaligus pemantauan/ dilakukan untuk tempoh yang lebih lama.
Jadi yang mana satukah pilihan TUDM? Tim RENTAKA berpendapat bahawa P-8 Poseidon mempunyai gabungan ciri- ciri yang diperlukan oleh TLDM dalam bukan sahaja menjalankan tugasnya menjaga perairan negara dengan baik tetapi juga membekalkan elemen cegah rintang terhadap musuh atau pihak yang berkepentingan. Namun begitu, terserahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan tentang pesawat manakah yang bakal menjadi pesawat MPA TUDM.