ukraine-crisis-grad-rocket-launchers-feb-8-pro-russian-clashes-debaltseve2.jpg

 

Oleh : Muhammad Faiq Bin Shaf’ii
Foto: Alexei Chernyshev/Reuters

Konflik Russia - Ukraine kembali hangat dan mendapat liputan pelbagai media antarabangsa. “Civil War” di Ukraine, pendudukan Russia di Crimea sejak 2014, permohonan Ukraine untuk menyertai pembesaran NATO, potensi kehilangan zon penampan dan pangkalan Tentera Laut Russia (HQ Black Sea Fleet ).

Geopolitik Eropah timur ini tidak pernah sunyi sejak kejatuhan Soviet Union 1991, di mana ianya mewujudkan “power vacuum” dan pelbagai pertembungan militari, diplomatik, serta tuntutan wilayah antara negara-negara bekas kesatuan Soviet.

Memahami garis masa sejarah dan geografi setiap lokasi panas ini mampu memberi kita satu kefahaman bermula dari era Empayar Tsarist Russia, Soviet Russia ( 1918-1922 ), Soviet Union ( 1922-1991), Persekutuan Russia ( 1991- kini)


PASCA PERANG DUNIA KEDUA, KEKALAHAN JERMAN DAN KUASA PAKSI

Selepas Jerman menyerah kalah pada May 1945, kebanyakan kawasan pendudukan Jerman sebelum ini di Eropah Timur telah ditawan oleh Soviet Union ketika 1944-1945.

Poland, Ukraine, Belarus, Lithunia, Estonia, Romania dan lain-lain menerima pendudukan tentera Soviet, dan pembinaan semula pasca perang menerima pengaruh terus dari Soviet, terutamanya dalam membina pentadbiran awam yang menyokong ideologi mereka iaitu Sosialis dan Komunisme.

Pengalaman buruk Soviet dalam masa kurang 100 tahun menerima ancaman pencerobohan iaitu ketika diserang oleh Perancis, dibawah Napoleon Bonaparte pada 1812 sehingga dua pertiga Moscow dibakar, serangan tentera Imperial Jerman dibawah perintah Kaiser Wilhelm pada 1914, perang dunia pertama, dan paling tragis, “Operation Barbarossa” serangan Nazi Jerman pada 1941 yang memberi kemusnahan besar pada Soviet.

Nazi Jerman melihat keluasan Soviet mampu memberikan mereka sumber makanan, hasil tani, dan pelbagai aktiviti yang menyokong jentera perang mereka, diberi nama “Lebensraum”. Soviet terpaksa berundur memindahkan pelbagai industri sehingga ke pergunungan Ural bagi memastikan mereka mampu meneruskan penentangan.

Melihat tiga peristiwa ini, Soviet melihat akan pentingnya mempunyai zon penampan bagi mengekang sebarang ancaman luar terutamanya dari barat Eropah. Ini bagi mengelakkan kemusnahan terus pada tanah air, populasi mereka, dan ada masa untuk bertindak balas.

Ukraine, termasuk dalam rencana ini dan sebahagian dari hemegoni Soviet.

 

WARSAW PACT vs NATO

Kekalahan Nazi Jerman 1945, telah menjadikan US dan Soviet dua kuasa besar dunia era moden. US, di mana tanah air mereka tidak terjejas akibat peperangan, kerana dipisahkan lautan Atlantik dan Pasifik, telah menjadi kuasa industri yang besar dan memimpin ideologi demokrasi, kapitalis dan pasaran bebas.

British (UK) dan Perancis, antara kuasa Eropah sebelum perang, tidak mampu menyaingi US dan Soviet kerana bergelut dengan pembangunan pemulihan dan pemberontakan nasionalis di koloni jajahan masing-masing.

Soviet Union pula dilihat sebagai kuasa besar yang memimpin ideologi Sosialis serta Komunisme, dengan keluasannya yang besar, populasi yang ramai, serta kuasa tentera bersaiz besar, menyerap negara-negara Eropah timur di bawah pengaruhnya.

US dan Eropah barat memandang Soviet sebagai satu ancaman baru. Dilihat sebagai agresif dalam menyebarkan pengaruh mereka dan berpotensi ke arah tindakan ketenteraan.

Memandangkan Eropah dalam proses pemulihan dan dilihat lemah berhadapan Soviet, insiatif untuk menjamin keselamatan negara Eropah dimulai seawal 1947 melalui “Treaty Of Dunkirk”, perjanjian antara UK dan Perancis untuk menghadapi serangan Jerman atau Soviet pasca WW2, dan dikembangkan ke “North Atlantic Treaty Organization” (NATO) pada 1949.

Objektif NATO, adalah pakatan antara negara-negara Eropah dan US di mana objektifnya mereka akan saling membantu sekiranya diserang Soviet Union.

Ini adalah titik tolak perang dingin “Cold War” sehingga 50 tahun selepas itu disertai dengan perlumbaan senjata nuklear global.

Penubuhan NATO, telah menimbulkan keresahan di kalangan negara-negara Eropah timur dan Soviet, dimana tindak balas yang diberikan adalah penubuhan pakatan ketenteraan di kalangan negara Eropah timur iaitu WARSAW PACT, diketuai oleh Soviet Union dan terus dari Moscow.


”Warsaw Pact” terbentuk dengan negara seperti Poland, Belarus, Ukraine,Jerman Timur, Cheszoslovakia, Hungary dan Romania. Jika dilihat dari peta, ianya jelas dilihat sebagai langkah strategik mengelakkan Eropah tengah dan Eropah timur digunakan musuh Soviet, dipacu dengan kebersamaan ideologi sosialis antara satu sama lain.

Apa yang menarik, negara pertama yang mengusulkan penubuhan pakatan Warsaw Pact ini adalah Chezhoslovakia, di mana mereka melihat akan ancaman Jerman yang bangkit, dibagunkan dan dipersenjatakan semula dan mampu menakluk mereka semula.

Warsaw Pact termeterai di Ibu negara Poland, Warsaw pada 1955.
Jerman Timur, medan pertama di sebalik Tembok Berlin dan Eropah barat, telah dibangunkan dari segi militari oleh Soviet Union, dan antara negara dalam Warsaw Pact yang mempunyai aset-aset militari moden bagi menjadi penampan pertama jika serangan berlaku oleh NATO.

Ukraine, menjadi antara enjin pertumbuhan ekonomi, pusat teknologi serta pembangunan aset militari strategik sepanjang era Soviet Union, akan dikupas bab selepas ini.

 

UKRAINE ERA SOVIET

Ukraine mempunyai sejarah yang panjang dengan pendudukan pelbagai kuasa asing.
Dalam sejarah moden, Ukraine pernah di bawah pendudukan Nazi Jerman ketika Perang Dunia kedua, kemudian menjadi salah satu Republik Sosialis dibawah Soviet Union.

Ukraine di era Soviet, menjadi lokasi pembangunan pelbagai industri militari dan strategik. Malah Ukraine antara kuasa Industri di Eropah ketika era perang dingin.
Loji janakuasa nuklear Chernobyl yang terkenal dengan bencana loji nuklear pada 1986, juga terletak di Ukraine.

Hampir 30% penghasilan jentera perang Soviet dihasilkan kilang-kilang di Ukraine, dan 40% aktiviti kajian saintifik Soviet berpusat di Ukraine. Malah Intercontinental Ballistic Missile (ICBM) Soviet ada yang dihasilkan di Yuzhmash Plant, juga terletak di salah satu bandar Ukraine.

Antara industri militari di Ukraine legasi Soviet adalah seperti berikut ;


Kharkiv Tank Plant- Penghasilan bagi tank T-80 Series dan tank T-84 versi naik taraf oleh Ukraine sendiri, pernah ditawarkan pada Malaysia

Antonov- Penghasilan variasi pelbagai pesawat pengangkut taktikal dan strategik Antonov.

Malah selepas berpisah dengan Soviet, pemilikan pelbagai aset perang Soviet diberikan pada Ukraine termasuk senjata nuklear, antaranya ;

350      x unit Tank T-80 series
1,000   x unit Tank T-72 series
700      x unit Tank T-64 series

Jumlah tank sahaja pada melebihi 2,000 unit

Ini tidak termasuk indusri senjata ringan, bom, artileri, pesawat dan industri kapal perang.

Tetapi, pasca perang dingin, dengan hilangnya ancaman perang di Eropah, kewujudan beribu-ribu aset armor terutamanya tank adalah satu beban pada operasi, bajet dan sumber manusia.

Tambahan pula, pasca perang Teluk 1991 membuktikan dimensi baru peperangan di mana satelit, jaringan internet, kuasa udara serta pengeboman strategik, pelbagai  doktrin baru menidakkan pergerakan kumpulan armor secara besar-besaran.

Kemajuan dan kepentingan strategiknya juga dapat dilihat dengan pemilikan 1,700 senjata nuklear pelbagai jenis tinggalan Soviet pada 1991.Satu per tiga pemilikan senjata nuklear Soviet berada di Ukraine, antaranya ;

130      UR-100N ICBM
46        RT-23 Molodets ICBM

33 Pesawat Pengebom Berat ( Heavy Bombers - Nuclear Capable )

Ukraine telah menandatangani Lisbon Protocol dan mematuhi Non Proliferation Treaty, iaitu memindahkan kesemua senjata nuklearnya ke Russia untuk proses pelupusan.

Perpindahan semua komponen ini termasuklah kepala peledak, missile jarak dekat, missile lancaran udara dan ICBM selesai 2001.

Malah, Ukraine sendiri mempunyai dan menguruskan 15 loji nuklear legasi Soviet untuk memenuhi 50% bekalan tenaganya. Selama ini bekalan bahan bakar nuklear diperolehi dari Russia, tetapi telah mula berubah mendapatkan bekalan dari Westinghouse, US atas sebab pergeseran geopolitik.

Ukraine juga melahirkan ramai pemimpin kanan Soviet, saintis, ahli sukan yang menyumbang pada kemajuan Soviet selama berdekad-dekad.


RUSIA PASCA SOVIET

Soviet Union mula dilihat goyah dan mempunyai pelbagai masalah domestik sejak operasi mereka menduduki Afghanistan 1980an. Dengan perbelanjaan yang tinggi dan tekanan antarabangsa, masalah ekonomi dalaman dan sosial.

Pemimpin Soviet terakhir, Mikhail Gorbachev, berusaha untuk melakukan reformasi ekonomi dan sosial yang drastik iaitu “Glasnost” dan “Perestoroika”, keputusan beliau membenarkan kewujudan pelbagai parti dan mengadakan institusi presiden untuk Soviet Union, membawa demokrasi secara perlahan-lahan dan mengakibatkan ketidakstabilan pada kawalan komunis seterusnya mengakibatkan kejatuhan Soviet Union pada 1991.

Presiden Rusia yang pertama iaitu Boris Yeltsin, menerajui Persekutuan Rusia telah mewarisi pelbagai masalah tinggalan pasca Soviet , dan reformasi ekonomi, kewujudan golongan oligarchs, serta pelbagai keruntuhan perkhidmatan sosial. Ditambah pula dengan pemberontakan daripada kawasan Kaukasus, Chechnya dan lain-lain. Era ketidakstabilan ini berterusan sehinggalah Vladimir Putin meneraju Russia.

Walau bagaimanapun, Rusia masih dilihat sebagai mini Soviet dan masih merupakan kuasa besar nuklear serta ketenteraan dunia. Ia masih berpengaruh dan mempunyai hemegoninya yang tersendiri.

Rusia mengambil inisiatif menubuhkan Commonwealth Of Independent States (CIS) seusai sahaja pembubaran Soviet Union. Objektif CIS adalah kerjasama ekonomi, perdagangan, militari, politik dan kerjasama pencegahan jenayah rentas sempadan.

Dianggotai 9 negara pada sebagai ahli, Ukraine selaku negara peserta tetapi bukan ahli, telah keluar dari CIS pada 2018, berikutan ketegangan berterusan dengan Rusia terutamanya selepas pertembungan dan pendudukan tentera Rusia di daerah Donbass serta Crimea pada 2014.

CRIMEA, SEMENANJUNG BERDARAH

Crimea, merupakan kawasan di tanah semenanjung di selatan Ukraine dan salah satu lokasi penting akses dari Laut Hitam.

Kawasan ini menjadi saksi perang Crimea antara UK, Perancis dan Turki Uthmaniah pada 1853 untuk mengekang kebangkitan Empayar Tsar Russia ketika itu, di mana ianya berjaya memanjangkan hayat Turki Uthmaniyyah untuk tempoh 70 tahun lagi.

Ketika Perang Dunia Kedua, bandar Sevastopol di Crimea adalah merupakan bandar Pangkalan Tentera Laut Soviet dan ibu pejabat bagi armada  Laut Hitam atau Black Sea Home Fleet. Semasa kempen penaklukan oleh Tentera Nazi Jerman ke atas USSR, bandar ini telah dikepung dan dibedil hebat oleh Nazi Jerman sehingga tentera Soviet terpaksa berundur dan membiarkan bandar tersebut untuk ditawan. Sevastopol hanya berjaya ditawan kembali pada 1945 apabila tentera Soviet mula menawan kembali kawasan- kawasan USSR yang telah ditakluki.

Sepanjang era Soviet, Sevastopol merupakan lokasi strategik Tentera Laut Soviet, memangkin pembangunan pelbagai indusri maritim bagi menyokong operasinya. Malah populasi etnik Rusia di kawasan tersebut telah meningkat dan menjadi kaum yang signifikan di Crimea.

Pada tahun 1954, Crimea telah diserahkan sendiri oleh Presiden USSR pada ketika itu iaitu Nikita Kruschev, kepada Ukraine. Ini adalah saat serta titik permulaan bagi pergolakan wilayah yang dihadapi pada hari ini.

Untuk menyerlesaikan perbalahan diantara Rusia dan Ukraine, satu referendum telah dijalankan di Crimea pada tahun 2014 yang mana hasilnya mendapati majoriti penduduk di wilayah Crimea menyokong agar wilayah mereka bersatu dibawah Persekutan Rusia. Hasilnya tentera Russia rtelah diarahkan oleh Presiden Putin untuk bergerak masuk dan bertapak di wilayah tersebut dan ini mengundang perhatian dan kritikan masyarakat antarabangsa.

Kini, segala urusan di Crimea dari segala segi samada domestik mahupun antarabangsa adalah dibawah kawalan terus oleh Rusia. Malah bendera Russia berkibar di serata mercu tanda Crimea sendiri.


KRISIS 2022 DAN JANGKAAN

Ketegangan sempadan antara Ukraine dan Rusia ini adalah kesan berikutan perubahan arus geopolitik yang bermula sejak berakhirnya perang dingin lagi.

Rusia diketahui ingin mengekalkan zon penampan untuk mengelak sebarang serangan dilancarkan dari barat di mana Ukraine adalah sebahagian daripada pemampan tersebut. Namun begitu sebaliknya mungkin terjadi apabila Ukraine bukan sahaja berbaik- baik dengan kuasa- kuasa barat malah telah menjadi ahli bersekutu NATO. Ini bermakna aset-aset militari strategik NATO boleh ditempatkan di sempadan Rusia dan ini mengimbau kembali mimpi ngeri Rusia apabila ia perlu bertempur atas tanah air sendiri semasa Perang Dunia Kedua. Pengalaman pahit ini enggan dialami atau diharungi sekali lagi oleh Rusia dan Presiden Putin berusaha sedaya upayanya untuk mengelak Ukraine daripada meraih keanggotaan penuh NATO. 

NATO pula dengan agresif membesarkan pakatannya dan membenarkan kemasukan negara-negara bekas kesatuan Soviet. Tindakan NATO ini bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang Rusia tetapi juga seolah- olah mencabar sang beruang dengan mencalarkan egonya. Peluasan pengaruh serta keanggotaan NATO hingga ke sempadan Rusia dilihat seperti cabaran terus pada ruang lingkup pengaruh Rusia selaku salah satu kuasa besar dunia.

Poland, Georgia, dan lain-lain negara baltik yang dahulunya menjadi sebahagian daripada Pakatan Wardaw dibawah pengaruh USSR kini satu demi satu menjadi anggota penuh atau mesra NATO. Mereka melihat keanggotaan NATO sebagai peluang untuk mereka memodenkan peralatan militari mereka menjadi lebih terkini,  lebih cekap, dan berkesan ketika operasi pertempuran berbanding peralatan militari tinggalan USSR.

Tidak semua anggota NATO senang dengan tindak tanduk US, Perancis sendiri mengambil inisiatif di mana Presiden Macron bertemu Putin untuk meredakan keadaan. Eropah memerlukan bekalan gas dari Russia untuk menjana ekonomi  mereka.

Jika peperangan berlaku, ianya hanya berskala terhad seperti yang terjadi semasa konflik Rusia- Ukraine pada tahun 2014 dan konflik Rusia- Georgia 2008 dimana ia tidak melibatkan pertembungan kuasa ketenteraan NATO.

Pergerakan tentera dan aset besar-besaran oleh NATO dan Russia dilihat sebagai “gunboat diplomacy”atau “show of force” sahaja, dimana dengan kerugian global lebih teruk akan berlaku, terutama sekali pasca pandemik.

Memahami garis masa dan sejarah geopolitik Eropah Timur akan membantu kita mendapat gambaran menyeluruh setiap peristiwa yang berlaku. Apapun ia memberikan pengajaran yang jelas agar Malaysia, tidak hanya mengharapkan air liur menyebut diplomasi semata-mata sahaja dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Most Read