Trivia RENTAKA - HE ERFB-HB (High Explosive Extended Range Full Bore Hollow Base) Peluru meriam buatan tempatan
Apabila RENTAKA membuat posting tentang perkembangan aset dalam ATM, seringkali terdapat komen- komen 'nakal' yang mempersoalkan keupayaan industri ketenteraan tempatan. Biarpun difahami bahawa komen- komen ini dibuat oleh mereka- mereka yang ingin melihat negara berupaya untuk menghasilkan produk- produk kententeraan yang canggih untuk digunakan oleh ATM.
Akan tetapi apabila dihidangkan dengan komen yang sama, umpama melayani anak kecil yang merengek- rengek meminta dibelikan mainan dan pada masa yang sama, tiada mempamerkan kesabaran untuk menunggu. Kadang- kala, boleh hilang sabar dibuatnya. Mungkin ada segelintir kecil yang suka membaling batu lalu sembunyi tangan dengan komen-komen sebegitu tanpa memikirkan bahawa ia boleh menjejaskan semangat juang semua pihak termasuklah daripada industri pertahanan tempatan sendiri. Dalam hal ini, tidak kurang juga yang menyeru agar melihat dan mencontohi industri pertahanan di negara jiran yang kelihatan giat membangun nan mempromosi keupayaan mereka. Malangnya mereka sendiri gagal untuk melihat dan mencontohi peminat ketenteraan di negara jiran yang sentiasa menyokong industri pertahanan tanpa berbelah bagi biarpun apa yang dihasilkan itu telahpun ketinggalan zaman teknologinya! Bayangkan apa reaksi peminat ketenteraan tempatan sekiranya industri pertahanan tempatan melakukan perkara yang sama.
Tidak ramai yang memahami bahawa ATM dan industri pertahanan tempatan kelihatan suka memegang peribahasa "Umpama harimau menyimpan kuku". Setiap keupayaan selingkali tidak dipamerkan secara terbuka. Hanya mereka- mereka yang arif sahaja yang dapat melihat keupayaan yang sebenar yang cuba untuk ditonjolkanContohnya gambar diatas. sekilas pandang, gambar ini kelihatan biasa sahaja dimana krew meriam G5 sedang mengangkat peluru meriam 155mm dalam persediaan untuk membuat demonstrasi tembakan meriam G5 semasa "fire demo" TDM tidak lama dahulu. Apa yang menarik, meskipun sasaran yang hendak dibedil tidaklah jauh tetapi peluru meriam yang digunakan adalah daripada jenis HE ERFB-HB. Singkatan tersebut adalah daripada perkataan "High Explosive Extended Range Full Bore Hollow Base".
Peluru meriam ini mampu menghentam sasaran yang berada sehingga 24-25 kilometer jauh. Akan tetapi rekabentuk modular peluru meriam ERFB ini mengizinkan modul "Base Bleed" dipasang menggantikan modul "Hollow Base" dengan mudah (setiap modul boleh ditukar dengan mudah dengan hanya perlu diskrukan pada pangkal peluru meriam ERFB) menjadi peluru meriam HE ERFB BB yang mampu menghentam sasaran sehingga diantara 39 hingga 42 kilometer jauhnya! Lebih menarik lagi, meskipun peluru meriam ini boleh dikatakan tergolong dalam peluru meriam generasi baru, peluru HE ERFB yang digunakan oleh RAD TDM dihasilkan oleh firma SME Ordnance Sdn. Bhd.
Mengejutkan, bukan?