Trivia RENTAKA: Pesawat CL415MP APMM
Pesawat CL-415MP APMM sedang mengebom kebakaran hutan. Imej seperti inilah yang sentiasa dipaparkan kepada umum.
Sebut sahaja pesawat CL-415 milik APMM, sudah pastinya terbayang gambaran di kepala, pesawat tersebut sedang memadamkan kebakaran dari udara.
Ya, itulah imej yang seringkali dipaparkan di media massa tentang keupayaan pesawat ini. Lantas masyarakat membina persepsi bahawa itulah fungsi utama pesawat CL-415 APMM. Malah APMM sendiri kelihatan tidak berusaha untuk menerangkan fungsi sebenar pesawat keluaran firma Bombardier dari Kanada ini.
Jadi jika tiada misi memadamkan kebakaran, adakah pesawat hanya bersantai di stesen udara APMM? Jawapanya tentulah sama sekali tidak. Jadi apa fungsi utama pesawat CL415 APMM ini?
Ramai yang tidak mengetahui bahawa fungsi utama pesawat CL-415 APMM adalah melakukan misi rondaan untuk memantau keadaan serta keselamatan kawasan martitim negara. Dengan ertikata lain ia memikul tanggungjawab untuk melakukan misi rondaan maritim. APMM mengoperasikan dua buah pesawat CL-415MP dimana ia sebenarnya adalah merupakan varian pesawat rondaan maritim bagi CL-415.
Imej kapal dagang yang sedang membuang sisa kumbahan/ minyak secara haram di perairan negeri Perak. Imej ini diambil oleh kepala penderia elektro optik pesawat CL-415MP ketika melakukan misi rondaan maritim- satu keupayaan pesawat yang entah mengapa, sangat jarang diwar-warkan kepada umum. (Foto: APMM)
Untuk tujuan itu, pesawat CL-415MP APMM dilengkapi dengan kepala penderia elektro-optik SeaFLIR 2 lengkap dengan kamera video dan kamera infra merah yang membolehkannya menangkap gambar dan video dalam kepekatan malam. Berbeza dengan pesawat maritim yang lain, kepala penderia elektro-optik pesawat tidak dipasang di bawah muncung pesawat sebaliknya ia ditempatkan di bawah sayap kiri pesawat. Disamping itu ia turut dilengkapi dengan dua radar maritim pandang sisi atau Side Looking Airborne Radar jenis MSS-6000 untuk pemantauan jarak jauh lengkap dengan sistem AIS. Kesemua penderia dan aset sistem dikawal oleh seorang operator misi menerusi konsol kawalan. Untuk misi rondaan maritim,pesawat lazimnya membawa 4 orang krew.
Jadi, pesawat CL-415MP APMM mempunyai tiga fungsi utama iaitu rondaan maritim, SAR dan memadamkan kebakaran.