Trivia RENTAKA - Senjata akustik LRAD 450XL

May be an image of text that says "RMAF"Foto: LRAD 450XL yang dipasang di dalam helikopter EC 725 TUDM.


Covid-19 tidak menghalang ketiga- tiga cabang ATM untuk terus melakukan operasi dan latihan dalam menjaga keselamatan negara serta memastikan kesiagaan dan kecekapan anggota sentiasa diuji. TUDM misalnya telah melaksanakan Eks Kelawar 12/21 untuk menguji kecekapan krew helikopter EC 725 dan tim PASKAU dalam menangani ancaman lanun dan pencerobohan kumpulan penjenayah daripada selatan Filipina.

Diantara latihan yang dilakukan adalah penerbangan formasi taktikal, panduarah taktikal, latihan tembakan sniper daripada helikopter, latihan menyelamat di laut, misi maritim anti pengganas dan penggunaan alat LRAD dari helikopter. Apa yang berbeza dalam latihan kali ini adalah kebanyakan senario latihan dilakukan di waktu malam memandangkan aktiviti penculikan dan pelanunan lazimnya berlaku di waktu tersebut.

Tim RENTAKA agak tertarik dengan penggunaan alat akustik jarak jauh atau Long Range Acoustic Device (LRAD) yang julung kali didedahkan kepada umum. Berdasarkan gambar yang dikeluarkan oleh TUDM, alat LRAD yang digunakan adalah LRAD 450XL keluaran firma Genasys. Pada dasarnya ia pembesar suara berkuasa tinggi yang membolehkan arahan dan berita disiarkan dari jarak yang jauh. LRAD 450XL misalnya mampu menyampaikan arahan sehingga 1.7 kilometer dalam keadaan yang ideal. Ini membolehkan amaran diberikan secara jelas kepada penjenayah meskipun dalam suasana bising daripada bunyi enjin dan kipas helikopter. Biarpun fungsinya tidak jauh beza seperti pembesar suara biasa, alat ini mempunyai sisi gelap yang tidak mudah didedahkan pada sekilas pandang.

Ia sebenarnya boleh digunakan sebagai senjata yang bukan untuk membunuh tetapi mampu untuk melumpuhkan manusia. Meskipun kecil saiznya, LRAD 450XL mampu untuk menjana bunyi berkekuatan sehingga 150 dB yang boleh ditumpukan pada kawasan tertentu. Bunyi kuat yang dijana oleh alat ini boleh menyebabkan sasarannya mengalami sakit telinga, pening, mual dan hilang imbangan badan.

Pendedahan kepada bunyi berkekuatan 150dB yang berpanjangan boleh menyebabkan gegendang telinga pecah dan telinga menjadi pekak. LRAD 450XL boleh digunakan untuk melumpuhkan lanun/ penjenayah yang sedang melarikan diri dengan bot laju atau melumpuhkan kumpulan lanun yang sedang menawan kapal, tanpa perlu melepaskan tembakan. Pun begitu, keberkesanan alat LRAD ini masih lagi belum teruji sepenuhnya dalam operasi ketenteraan sebenar.