Trivia RENTAKA - Sistem pertahanan udara Albatros

May be an image of outdoorsPeluru berpandu Aspide Mk.1 meluru ke sasaran!

Albatros. Satu nama yang sangat kurang dikenali oleh kebanyakan peminat ketenteraan tempatan. Malah sekarang ini nama tersebut telah mula luput dalam ingatan. Namun begitu pengenalannya di dalam perkhidmatan TLDM bukan sahaja meningkatkan keupayaan armada tetapi juga merevolusikan keupayaan pertahanan udara negara.
 
Apakah Albatros? Ia adalah satu- satunya sistem pertahanan udara jarak sederhana negara. Semasa pengenalannya, Albatros dikatakan lebih efektif serta lebih mantap prestasinya berbanding sistem pertahanan udara RIM-7 Sea Sparrow yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika. Sistem pertahanan udara ini digunakan oleh TLDM apabila ia mentauliahkan empat buah kapal korvet kelas Laksamana pada tahun 1999. Dalam sekelip mata, lembayung pertahanan udara armada TLDM berkembang daripada 10 kilometer kepada 25 kilometer dan memungkinkan sebarang ancaman udara ditangani segera daripada jarak hampir di luar ufuk penglihatan atau Beyond Visual Range (BVR). Albatros menggunakan peluru berpandu Aspide Mk.1 yang meluru ke sasaran pada kelajuan maksimum Mach 3.7. Pada dasarnya ia menggunakan panduan semi aktif- sama seperti peluru berpandu AIM-7 Sparrow. Malah rekabentuknya juga adalah sama seperti Sparrow. Akan tetapi Aspide Mk.1 memiliki bahagian dalaman yang berbeza daripada motor roket yang lebih berkuasa, sistem hidraulik lebih mantap yang menjadikan peluru berpandu lebih lincah dan penderia yang lebih tepat serta lebih berdaya tahan terhadap sebarang usaha penyerakan elektronik oleh musuh. Namun begitu ia membawa kepala peledak yang lebih kecil sedikit berbanding Sparrow iaitu kira- kira 35 kilogram berat.
 
Walaupun kurang dikenali dan tidak terbukti dalam peperangan, peluru berpandu Aspide digunakan oleh 16 buah negara dan dipasang pada pelbagai jenis kapal perang sejak pengenalannya pada tahun 1976. Malah China membeli sejumlah sistem Aspide untuk melengkapi kapal perangnya sebelum mengeluarkannya secara berlesen menggunakan komponen yang dibeli daripada Itali. Pun begitu apabila China dikenakan embargo oleh Kesatuan EU akibat peristiwa Medan Tiananmen, ia telah mengeluarkan sistem Albatros/ Aspide rekaannya sendiri yang dikenali sebagai LY-60 dan versi peluru berpandu udara ke udara PL-11.
Akan tetapi mengapa nama Albatros telah mula luput dalam ingatan kebanyakan peminat ketenteraan tempatan? Jawapannya adalah sistem pertahanan udara Albatros telahpun diundurkan daripada perkhidmatan pada tahun 2014 berikutan radar kawalan tembakan RTN-10X dan sistem kawalan tembakan Mk10 Argo pada kapal korvet kelas Laksamana telahpun diisytiharkan sebagai ketinggalan zaman.
 
Sementara itu, pengeluaran peluru berpandu Aspide telah bertukar tangan kepada firma MBDA yang kemudiannya memperkenalkan Aspide 2000 yang merupakan naik taraf daripada peluru berpandu asal dimana prestasinya dikatakan adalah 40 peratus lebih baik daripada Aspide Mk.1.
 
May be an image of outdoors
Unit tembakan sistem pertahanan udara Spada 2000. Piring radar dibawah pelancar adalah untuk radar kawalan tembakan yang mampunyai jangkauan sekitar 30 kilometer.
Albatros mempunyai kembarnya yang dioperasikan di darat dan dikenali sebagai sistem pertahanan udara Spada. Diperkenalkan pada tahun 1980, Spada juga menggunakan peluru berpandu Aspide Mk. 1. Walau bagaimanapun keupayaannya sedikit rendah berbanding sistem Albatros dimana ia hanya mempunyai jangkauan operasi sejauh 20 kilometer sahaja. Sistem Spada adalah terdiri daripada dua stesyen utama iaitu stesyen pengesanan yang merupakan pusat kawalan taktikal dan unit tembakan. Stesyen pengesanan terdiri daripada radar pengesan serta sistem kawalannya.
 
Radar ini mampu mengesan pesawat pejuang bersaiz kecil daripada jarak 50 kilometer dan mampu untuk menjejak sehingga 10 sasaran pada satu- satu masa. Setiap stesyen pengesanan boleh mengawal satu unit tembakan yang mengandungi sehingga empat pelancar peluru berpandu Aspide atau mengawal beberapa unit tembakan. Sistem pertahanan udara Spada turut telah dinaik taraf untuk membolehkannya menggunakan peluru berpandu Aspide 2000 dan dikenali sebagai Spada 2000. Versi baru ini direka agar lebih mudah alih dan boleh dipindahkan dengan menggunakan terak, kereta api mahupun diangkut oleh pesawat C-130 Hercules. Satu lagi kelebihan SPADA 2000 adalah ia mampu digandingkan bersama sistem pertahanan udara sedia ada terutamanya yang menggunakan radar kawalan tembakan Skyguard seperti yang digunakan oleh GAPU. Setakat ini Spada 2000 hanya digunakan oleh tentera Itali, Sepanyol dan Pakistan.
Memandangkan sistem Albatros telahpun diundurkan daripada perkhidmatan TLDM, tim RENTAKA tidak menolak kemungkinan sistem tersebut diserahkan kepada TDM untuk dioperasikan oleh GAPU sekiranya terdapat keperluan yang mendesak. Ini adalah kerana GAPU telahpun memiliki sistem pertahanan udara Skyguard yang mana boleh digandingkan dengan sistem Spada dengan mudah dan modifikasi/naik taraf yang minima. Malah sistem Albatros dikatakan boleh menggunakan peluru berpandu AIM-7 Sparrow dengan hanya menukarkan beberapa komponen pada sistem kawalan tembakannya.
 
Bayangkan kemungkinannya, sedang ramai peminat ketenteraan tempatan yang merungut tentang tiadanya keupayaan pertahanan udara jarak sederhana dimiliki oleh TDM, dalam senyap- senyap GAPU telahpun mengoperasikannya. Satu kemungkinan yang menarik, bukan?

Most Read