Satu trend yang dilihat semakin popular dewasa ini adalah penggunaan kenderaan pacuan empat roda yang direka untuk kegunaan awam telah mula merebak penggunaannya kepada tentera. Biarpun penggunaan kenderaan pacuan empat roda biasa dalam konflik bukanlah sesuatu yang baru malah telah didokumentasikan sejak dekad 1970an lagi, populariti dan keberkesanannya telah mula mendapat perhatian daripada pihak tentera. Jika dahulu, hanya pasukan khas dalam misi- misi tertentu sahaja yang menggunakan kenderaan seperti ini, kini ia adalah satu pemandangan biasa di kem- kem tentera terutamanya di negara- negara dunia ketiga termasuk Malaysia.
Konflik- konflik di negara- negara Arab terutamanya di Libya dan Syria menyaksikan kenderaan pacuan empat roda dipasang dengan pelbagai jenis persenjataan daripada mesingan hinggalah ke mortar dan meriam howitzer. Akan tetapi yang paling menarik perhatian adalah kenderaan 4x4 yang dipasang dengan mesingan berat atau meriam anti pesawat berkaliber kecil. Kenderaan yang digelar "Technicals" ini memiliki bukan sahaja kelajuan dan kelincahan yang tinggi tetapi kuasa tembak mantap yang mampu mengkucar- kacirkan pihak lawan. Jika ia membawa pelancar peluru berpandu anti armor, maka ia boleh menyerang hendap kereta kebal atau kenderaan tempur musuh sebelum dengan pantas melarikan diri. Technicals yang membawa meriam anti pesawat berkaliber kecil (sebagai contoh, meriam ZSU 23-2) bukan sahaja berkesan terhadap pasukan infantri tetapi juga terhadap kenderaan berarmor nipis seperti APC. Tembakannya juga mampu untuk menembusi armor sisi dan belakang kenderaan tempur serta mampu merosakkan peralatan serta sistem optronik yang ada diluar turet MBT.