Kedai mamak. Entah kenapa kedai- kedai mamak ni memang sangat popular. Pergi membasahkan tekak pukul tiga pagipun kedai mamak tetap ada pengunjungnya. Samada sedar ataupun tidak, di kedai mamaklah tempat rakyat (samada marhein ada menyamar jadi marhein) untuk membincang pelbagai hal dan masalah. Malah ia juga menjadi seperti parlimen mini tempat untuk YB wannabe membahaskan pelbagai permasalahan rakyat, cerita politik serta gosip terkini tanahair. Tidak kurang juga ia menjadi tempat lahirnya teori- teori konspirasi. Dengan tanpa rasa segan dan silu, tim Rentaka mengaku bahawa kedai mamak jugalah menjadi lokasi untuk kami bertemu dan berdiskusi sambil sesekali mata menjeling awek- awek kolej yang majoritinya memang mariii... Dan ketika itulah lahir satu teori yang disamarkan sebagai analisa agar mudah diterima pembaca.
Minggu lepas kita telah dikejutkan dengan berita tentang khabar- khabar angin bahawa kontrak pembelian helikopter MD 530G dan meriam mudah gerak M109A5 berkemungkinan akan dibatalkan. Maka hebohlah di medan media sosial tentang perkara ini. Walaupun ada yang bertanya kepada pihak Rentaka tentang perkara ini, tim Rentaka mengambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dahulu (dan juga keperluan untuk memenuhi undangan- undangan majlis kenduri makan percuma sambil mencuci mata). Setelah beberapa jam membuat analisa sambil menghirup segelas teh tarik, segelas kopi beng keras baekkk punya dan berbelas gelas air suam (sebab air suam tu free) sambil menahan jelingan mata mamak yang tajam, maka tim Rentaka mencapai pendapat (yang malangnya bukan sepakat) bahawa besar kemungkinan kontrak pembelian kedua- dua sistem persenjataan tersebut akan dibatalkan oleh kerajaan Malaysia. TETAPI... (cue muzik suspen dan placard INTERMISSION)
Mungkin ada yang bertanya, mengapa kontrak pembelian kedua- dua sistem persenjataan tersebut akan dibatalkan oleh kerajaan? Jawapannya adalah mengapa tidak? Umum sedia mengetahui bahawa bebanan hutang kerajaan semakin meningkat saban tahun. Ditambah pula dengan kelembapan ekonomi hasil perang ekonomi diantara China dan Amerika, keadaan ekonomi serantau tidaklah begitu baik. oleh itu tidaklah sesuatu yang menghairankan jika kerajaan mengambil langkah pro-aktif untuk mengawal perbelanjaan kerajaan. Disamping itu, seperti yang dilaporkan oleh media, terdapat kemungkinan elemen- elemen kejanggalan pada perjanjian pembelian helikopter MD-530G. Ia juga adalah pengetahuan umum bahawa kerajaan hari ini telah dan sedang meneliti kembali setiap kontrak pembelian yang telah dibuat oleh kerajaan terdahulu untuk mengesan jika terdapat elemen- elemen rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Sudah pasti ramai yang tertanya- tanya dimana analisanya? Takkan itu je? Berbalik kepada perkataan TETAPI dihujung perenggan kedua, tim Rentaka berteori bahawa meskipun kontrak pembelian kedua- dua sistem persenjataan tersebut dibatalkan, terdapat kemungkinan ia akan dihidupkan kembali. Mengapa? Setiap kerajaan mempunyai cara perundingannya tersendiri dan kerajaan hari ini kelihatan serius dalam mencari nilai yang lebih dalam setiap pembelian yang dibuat. Ini termasuklah membuat rundingan semula untuk kontrak- kontrak pembelian yang telah ditandatangani oleh kerajaan terdahulu. Sekiranya syarikat pengeluar enggan berbuat demikian, maka kontrak pembelian tersebut akan dibatalkan. Akan tetapi tim Rentaka berpendapat bahawa, meskipun kontrak pembelian telah dibatalkan, ini tidak bermakna proses perundingan akan tertutup buat selamanya. Sebaliknya ia dijangka akan berterusan sehinggalah kedua- dua pihak mencapai kata sepakat untuk bertolak ansur atau kontrak sememangnya akan benar- benar terkubur. Rentaka percaya bahawa pembatalan kontrak pembelian ini adalah merupakan risiko besar yang perlu ditanggung oleh kedua- dua belah pihak. Bagi pihak syarikat, mereka telah mengeluarkan banyak belanja untuk menghasil, membuat modifikasi dan menguji helikopter yang dipesan oleh kerajaan Malaysia. Jika dilihat pada spesifikasi yang pernah disiarkan oleh Rentaka tidak lama dahulu, sememangnya banyak perkara telah diubah suai dan dipertingkatkan keupayaannya.
Oleh itu, boleh dikatakan bahawa ia adalah variasi MD-530G yang agak unik atau “one of a kind”. Masalahnya ia dihasilkan mengikut spesifikasi TDM dan adalah amat sukar untuk mencari pelanggan yang mahu membeli serta menerima helikopter yang telah dibina menurut spesifikasi dan keperluan pihak lain terutamanya yang di dalam kategori “one of a kind” atau “peculiar to…”. Di pihak kerajaan pula, mereka perlu menghadapi kenyataan bahawa ancaman terhadap Sabah masih lagi wujud dan pemilikan helikopter tempur seperti MD-530G akan sangat- sangat membantu dalam menambah bisa serta perisa serangan ATM jika keadaan memerlukan. Satu lagi faktor yang akan menggusarkan kerajaan adalah di dalam setiap kontrak pembelian akan ada klausa berkenaan pembatalan pembelian dimana kerajaan akan terpaksa membayar kesemua kos serta sejumlah peratusan daripada nilai kontrak pembelian, sebagai gantirugi kepada syarikat pengeluar. Sudah pastinya kerajaan tidak mahu terpaksa membayar jumlah yang tinggi tetapi tanpa apa- apa aset sebagai timbal balas.
Khabar angin tentang kemungkinan pembatalan kontrak pembelian helikopter tempur MD-530G ini dikatakan lahir daripada sumber yang tidak dinamakan. Berkemungkinan ini adalah cara kerajaan untuk memberi tekanan kepada syarikat pengeluar untuk membuka rundingan, daripada terus- menerus berdegil.
Bagaimana pula dengan pembatalan pembelian meriam mudah gerak M109A5 yang dibuat melalui pembelian EDA. Pembelian dengan cara ini adalah dengan cara kerajaan dan kerajaan. Jadi pembatalan pembeliannya adalah jauh lebih mudah dan murah berbanding kontrak pembelian secara komersil atau DCS. Dalam hal ini, pembatalan pembelian M109A5 dijangka akan memberi impak yang minimum terhadap kesiagaan ATM. M109A5 adalah meriam mudah gerak yang agak ketinggalan zaman malah ketinggalan jika dibandingkan degan meriam G5 155mm. Keupayaannya juga tidak mampu untuk menandingi meriam G5 daripada segi jangkauan bedilan, kepantasan pengoperasian dan keupayaan untuk membedil menggunakan peluru meriam 155mm terkini. Walaubagaimanapun kewajaran pembelian M109A5 adalah difahami iaitu untuk memberi pendedahan kepada TDM tentang pengoperasian meriam mudah gerak. Realitinya harga meriam mudah gerak terkini (termasuklah meriam mudah gerak berstatus terpakai) adalah sangat tinggi.
Sayugia diingatkan ini hanyalah pendapat Rentaka yang lahir daripada perbincangan di kedai mamak. Jadi sejauh mana ketepatannya tidaklah diketahui. Tapi siapa tahu kemungkinannya…