Analisa RENTAKA - Pelancar roket berganda Astros II TDM- Cadangan penambahbaikan.
Mahkota aset yang punyai kuasa tembak paling ampuh milik TDM tidak dapat dinafikan lagi adalah milik pelancar roket berganda Astros II. Keupayaannya untuk menghujani serta memusnahkan posisi musuh dengan bom- bom melayakkan ia mendapat gelaran "grid square eraser" atau memadam petak peta. Ke mana sahaja tembakan dihalakan, sudah pastinya kawasan sasaran disesakkan dengan jumlah kuasa tembak yang turun seperti hujan dalam jumlah yang singkat. Sebarang aset musuh yang berada di sesebuah kawasan akan setidak- tidaknya mengalami kerosakan yang serius sebaik sahaja Astros II selesai membelasah kawasan tersebut. Sebarang pusat tumpuan atau pengumpulan tentera musuh seperti pangkalan, pangkalan hadapan atau pusat operasi medan (terutamanya bagi helikopter penyerang musuh) adalah merupakan sasaran utama Astros II. Bukan itu sahaja, keupayaannya untuk menyebarkan dan menyemai ribuan periuk api dalam masa beberapa minit membolehkannya menyekat kemaraan atau pergerakan pasukan musuh sebelum menghentamnya dengan roket dan ribuan bom- bom anti personal. Kombinasi tumbukan berkembar ini pasti setidak- tidaknya melumpuhkan ketumbukan musuh terutamanya yang berada di kawasan terbuka. Oleh itu, tidak hairanlah Astros II dianggap sebagai aset strategik dan kehadirannya di medan perang begitu menggusarkan musuh. Malah semasa Operation Desert Storm, Astros II milik Iraq adalah salah satu sasaran utama pemburuan oleh pesawat- pesawat pihak bersekutu.